Geografi T2

Bab 13 : Pembandaran

Pengenalan
1. Proses pembandaran merupakan satu proses penumpuan penduduk di kawasan bandar.
2. proses pembandaran juga dikenali sebagai proses urbanisasi.
3. Proses pembandaran boleh menyebabkan perubahan dalam:
(a) Jumlah penduduk
(b) Fungsi bandar
(c) Penggunaan tanah
(d) Cara hidup penduduk
4. Bandar-bandar di Malaysia mengalami pembandaran yang pesat selepas negara mencapai kemerdekaan.
5. Jumlah penduduk di bandar bertambah dengan cepat kerana migrasi luar bandar ke bandar berlaku dengan giat disebabkan penduduk luar bandar ingin mencari lebih banyak peluang pekerjaan di bandar.
6. Bandar-bandar besar yang berlaku pembandaran ialah seperti:
(a) Kuala Lumpur
(b) Georgetown
(c) Ipoh
(d) Johor Bahru
(e) Kuantan
7. Pembandaran menyebabkan jumlah penduduk disesuatu kawasan bertambah dengan banyak.
8. Ini adalah kadar kerana pertambahan semula jadi penduduk meningkat dan migrasi penduduk dari luar bandar ke bandar.
9. Kegiatan ekonomi sesuatu kawasan yang mengalamiproses pembandaran akan berubah dari sektor primer kepada sektor sekunder dan tertier.
10. Keadaan ini bermakna sesuatu kawasan itu tidak lagi hanya berfungsi sebagai pusat pertanian, perikanan tetapi berfungsi sebagai pusat perniagaan, perdagangan, perindustrian dan perkhidmatan.
11. Pihak berkuasa tempatan telah menyediakan banyak kemudahan asas di kawasan pembandaran untuk memenuhi keperluan penduduk yang semakin ramai.
12. Kemudahan yang ditambahkan di kawasan pembandaran adalah seperti jaringan jalan raya, hospital, perumahan, sekolah dan taman rekreasi.
13. Tujuannya adalah supaya penduduk di kawasan pembandaran dapat kemudahan yangsempurna dan dapat meningkatkan taraf hidup penduduk.

Faktor-faktor Yang Mempengaruhi Pembandaran Negara Malaysia
1. Faktor-faktor yang mempengaruhi pembandaran Malaysia ialah:
(a) Dasar kerajaan (gavernan)
(b) Peluang pekerjaan
(c) Migrasi penduduk

1. Dasar Ekonomi Baru 1970 dan Rancangan Lima Tahun yang memperkenalkan pembukaan kawasan baru dan bandar kecil telah menyebabkan proses pembandaran berlaku dengan pesat di bandar dan kawasan sekitarnya.
2. Tindakan ini telah menyebabkan ramai penduduk dari luar bandar berhijrah ke bandar untuk mencari pekerjaan yang lebih baik.
3. Terdapat beberapa kawasan di setiap negeri di Malaysia diisytiharkan oleh kerajaan sebagaikawasan perindustrian iaitu Petaling Jaya, Bayan Lepas, Air Keroh, Pasir Gudang dan sebagainya.
4. Di samping itu, kerajaan juga menubuhkan Zon Perdagangan Bebas di beberapa tempat seperti Petaling Jaya, Sungei Way, Bayan Lepas dan Pasir Gudang.
5. Zon Perdagangan Bebas dilengkapi dengan pelbagai kemudahan infrastruktur, taraf perintis dan pengecualian cukai pendapatan. Kemudahan-kemudahan ini telah menarik pelabur-pelabur asing untuk melabur di Malaysia.
6. Selain itu, pihak kerajaan telah menubuhkan bandar-bandar baru seperti Shah Alam, Nilai, Senawang dan sebagainya.
7. Tujuan kerajaan menubuhkan bandar baru adalah untuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan menggalakkan penghijrahan penduduk dari luar bandar.
1. Peluang pekerjaan dalam sektor perdagangan, perniagaan dan perindustrian telah menggalakkan penumpuan penduduk dari luar bandar ke kawasan pembandaran.
2. Perkembangan industri kilang dari industri perkhidmatan di bandar telah memperluaskan peluang pekerjaan.
3. Penduduk dari luar bandar berhijrah ke bandar untuk mendapatkan peluang pekerjaan yang lebih baik dalam pelbagai sektor dan mereka menetap di kawasan sekitar bandar dan lama-kelamaan kawasan mereka juga berkembang menjadi kawasan bandar seperti Petaling Jaya dan Shah Alam.
4. Selain itu, program tanah rancangan juga mempengaruh pembandaran Malaysia iaitu mewujudkan peluang pekerjaan di luar bandar dan menggalakkan penduduk berhijrah ke kawasan baru tersebut untuk mengusahakan.
5. Semakin ramai penduduk berhijrah ke kawasan tersebut. proses pembandaran akan berlaku dan kawasan tersebut akan menjadi bandar.

1. Pembandaran dan perkembangan bandar dipengaruhi oleh migrasi penduduk dari luar bandar ke bandar.
2. Faktor-faktor yang menarik penduduk luar bandar berhijrah ke bandar ialah:
(a) Peluang pekerjaan yang pelbagai dan banyak
(b) Kadar upah lebih lumayan
(c) Kemudahan asas yang lengkap
(d) Kestabilan politik
(e) Peluang melanjutkan pelajaran
3. Faktor-faktor tolakan di luar bandar ialah:
(a) Kekurangan peluang pekerjaan
(b) Kemiskinan di dalam keluarga
(c) Kekurangan kemudahan infrastruktur
(d) Bencana alam
Fungsi Petempatan Bandar
1. Sesebuah petempatan bandar yang terdapat di negara ini mempunyai kepelbagaian fungsi. Fungsi sesebuah bandar adalah berdasarkan kepada bentuk kegiatan ekonomi, sosial dan politik yang terdapat di sesebuah petempatan.
2. Terdapat bandar-bandar di negara Malaysia yang berfungsi sebagai pusat pentadbiran.Bandar ini biasanya merupakan bandar utama atau ibu negeri. Peta di bawah menunjukkan ibu negeri bagi negeri-negeri yang terdapat di Malaysia.

Ibu negeri-ibu negeri di Malaysia
3. Pejabat-pejabat pentadbiran persekutuan dan negeri serta ibu-ibu pejabat syarikat swasta terletak di dalam bandar-bandar ini. Antara bandar seumpama ini seperti Kuala lumpur, Ipoh, Shah Alam, Johor Bahru, Kota Kinabalu, Kuching dan Melaka.
4. Pusat perniagaan dan perdagangan merupakan salah satu fungsi petempatan bandar di negara ini. Di bandar terdapatnya gedung-gedung perniagaan, pusat perkhidmatan kewangan dan pusat membeli-belah serta aktiviti import dan eksport.
5. Antara bandar di negara ini yang berfungsi sebagai bandar perniagaan dan perdagangan adalah seperti Georgetown, Ipoh, Johor Bahru, Sandakan dan Kuching.
6. Terdapat juga petempatan bandar yang berfungsi sebagai pusat perindustrian. Kawasan perindustrian Petaling Jaya, Shah Alam, Bayan Lepas, Ayer Hitam, Bukit Mertajam dan Kulim merupakan antara beberapa bandar perindustrian yang terdapat di negara ini.
7. Penduduk yang tinggal di sekitar kawasan bandar perindustrian biasanya bekerja di kilang-kilang yang terdapat dalam kawasan tersebut.
8. Petempatan bandar juga turut berfungsi sebagai pusat pengumpulan hasil pertanian yang dibekalkan dari kawasan bandar . Antara bandar tersebut ialah seperti Kota Bahru, Sandakan, Temerloh, Tawau, Raub dan Tumpat.
9. Selain itu, petempatan bandar juga turut berfugsi sebagai pusat pendidikan. Institusi pengajian tinggi awam dan kolej-kolej swasta biasanya terletak di kawasan bandar ini. Bandar Baru Bangi di Selangor contohnya menempatkan pelbagai institusi pengajian tinggi seperti Universiti Kebangsaan Malaysia, Maktab Perguruan Islam, Pusat Matrikulasi Bangi, dan kolej Persediaan MARA.
10. Aktiviti perlombongan bijih timah yang terdapat di bandar Ipoh dan Taiping serta perlombongan petroleum di Kerteh, Terengganu dan Miri, Sarawak telah menyebabkan bandar-bandar tersebut berfungsi sebagai pusat perlombongan.
11. Pusat perhubungan dan pengangkutan yang menempatkan terminal utama pengangkutan jalan raya dan kereta api merupakan salah satu fungsi petempatan bandar di Malaysia. Tumpat merupakan terminal kereta api di pantai timur Semenanjung Malaysia.
12. Bandar raya Kuala Lumpur misalnya menempatkan Hentian Putra dan Puduraya sebagai terminal utama pengangkutan bas ekspres dan Sentral Kuala Lumpur berfungsi sebagai terminal utama Kereta api Tanah Melayu (KTM) bagi seluruh Semenanjung Malaysia.
13. Petempatan bandar juga berfungsi sebagai pusat pertahanan negara. Bandar-bandar seperti Port Dickson, Lumut dan Butterworth menempatkan markas-markas tentera, pengkalan tentera udara, darat dan laut, berek tentera, pusat latihan, serta tempat simpanan senjata dan peluru.
14. Tanah Tinggi Cameron, Tanah Tinggi Genting dan Bukit Fraser pula berfungsi sebagai pusat pelancongan dan peranginan di negara ini. Pulau Langkawi juga merupakan pusat pelancongan yang terkenal di negara ini kerana adanya pusat membeli-belah bebas cukai dan keindahan pantainya yang bersih dan menarik.
15. Pusat kebudayaan adalah salah satu fungsi petempatan bandar. Di bandar terdapatnya pusat-pusat pelbagai kebudayaan, balai seni, panggung kebudayaan dan pusat kraf tangan serta cenderamata. Contohnya seperti di bandar raya Kuala Lumpur terdapat Istana Budaya yang digunakan untuk kegiatan pementasan.
16. Kemudahan pelabuhan untuk pengendalian aktiviti eksport dan import di negara ini telah menyebabkan wujudnya bandar-bandar seperti Georgetown, Pelabuhan Klang, Pelabuhan Pasir Gudang di Johor, Kuching di Sarawak dan Sandakan di Sabah berfungsi sebagai pusat pelabuhan di negara ini.
Kesan Pembandaran
1. Proses pembandaran yang berlaku di sesebuah negara telah menimbulkan pelbagai kesan positif dan negatif di negara-negara seperti Malaysia, Thailand dan Jepun.
2. Bandar-bandar utama di negara-negara ini seperti bandar raya Kuala Lumpur, Malaysia, metropolis Bangkok di Thailand dan metropolis Tokyo di Jepun menerima kesan-kesan daripada proses pembandaran yang berlaku.

Kesan Positif Pembandaran

1. Proses perbandaran telah menyebabkan peningkatan penduduk bandar di negara Malaysia, Thailand dan Jepun. Pertambahan ini telah meningkatkan bekalan tenaga kerja untuk pelbagai sektor seperti perindustrian, perniagaan dan perkhidmatan.
2. Kepelbagaian ekonomi di bandar telah mewujudkan banyak peluang pekerjaan kepada masyarakat tempatan seperti di bandar raya Kuala Lumpur, metropolis Bangkok dan metropolis Tokyo.

1. Pertambahan penduduk kesan daripada proses pembandaran telah menggalakkan kerajaan menambah dan meningkatkan kemudahan infrastruktur di kawasan bandar seperti kemudahan pengangkutan, pendidikan, kesihatan, bekalan elektrik dan air.
2. Jaringan pengangkutan seperti jalan raya diperlebarkan dan lebuh raya bertingkat turut dibina untuk keselesaan penduduk di bandar seperti bandar raya Kuala Lumpur dan metropolis Bangkok.

3. Selain itu, turut dibina Sistem Pengangkutan Transit Ringan (LRT), Komuter dan Monorel di bandar raya Kuala Lumpur serta kereta api peluru (Bullet Train) dan kereta api bawah tanah di metropolis Tokyo, Jepun untuk kegunaan penduduknya.
4. Kerajaan Thailand menyediakan kemudahan pengangkutan air seperti yang terdapat di metropolis Bangkok. Sepanjang Sungai Chao Phraya dibina terusan yang dikenali sebagai Klong sehinggakan Bangkok digelar Venice Timur. Pasar Terapung Damnoen Saduak menjadi destinasi perniagaan terapung yang terkenal di metropolis Bangkok.
5. Kerajaan turut meningkatkan kemudahan sosial di kawasan bandar seperti pusat-pusat kesihatan, pusat rekreasi dan pusat perubatan. Kemudahan ini bertujuan membolehkan penduduk menikmati taraf hidup yang lebih sihat.
6. Misalnya, kerajaan Malaysia menyediakan Taman Tasik Perdana dan Tasik Titiwangsa di bandar raya Kuala Lumpur sebagai lokasi riadah kepada penduduknya. Begitu juga keadaannya dengan metropolis Tokyo yang terdapat kawasan riadah seperti Ueno, Shiba dan Hibiya.

1. Kepelbagaian kegiatan ekonomi yang terdapat di bandar telah mewujudkan banyak peluang pekerjaan kepada penduduknya. Kadar upah yang diberi jauh lebih tinggi berbanding luar bandar.
2. Keadaan ini membolehkan penduduk yang bekerja di bandar meningkatkan taraf hidup mereka melalui pendapatan yang diperoleh.
3. Kemudahan pendidikan yang lengkap di bandar membolehkan penduduknya memperoleh pendidikan yang lebih sempurna dan tinggi. Universiti dan kolej-kolej swasta didirikan untuk memenuhi keperluan tersebut.
4. Bandar raya Kuala Lumpur misalnya terdapat Universiti Malaya, Universiti Tun Abdul Razak, Kolej Cosmopoint dan sebagainya untuk kemudahan pendidikan kepada penduduknya. Begitu juga dengan Universiti Tokyo di metropolis Tokyo dfan Universiti Chulalongkorn di metropolis Bangkok.

1. Peningkatan jumlah penduduk di bandar turut meningkatkan kemudahan kesihatan seperti hospital dan klinik.
2. Kemudahan yang disediakan di hospital membolehkan penduduk menikmati kesihatan yang lebih baik. Misalnya di metropolis Bangkok terdapatnya kemudahan hospital seperti Hospital Besar Bangkok dan Hospital Bumrungrad.
3. Hospital Selayang yang terdapat di bandar Selayang, hospital Universiti Tokyo, Hospital Komegome dan Pusat Kanser Kebangsaan di metropolis Tokyo juga merupakan kemudahan kesihatan yang disediakan kepada penduduknya.

1. Pelancong yang datang ke negara Malaysia, Thailand dan Jepun turut menjadikan kawasan bandar sebagai destinasi pelancongan selain daripada pusat peranginan pantai yang terdapat di negara-negara tersebut.
2. Destinasi pelancongan seperti Taman Tema Air Desa dan Mines Wonderland di Bandar raya Kuala Lumpur serta Safari World di metropolis Bangkok dan Disneyland di metropolis Tokyo menjadi tumpuan pelancong dari seluruh dunia.
3. Destinasi-destinasi pelancongan ini bukan sahaja dinikmati oleh pelancong malahan kepada mereka yang tinggal di bandar.

1. Kawasan pinggir bandar akan menerima kesan pembangunan di bandar apabila berlakunya perluasan pusat bandar. Contohnya, Batu Caves yang terletak di kawasan Kuala Lumpur utara telah menerima kesan pembangunan yang berlaku di bandar raya Kuala Lumpur.
2. Proses pembandaran yang berlaku di metropolis Tokyo juga telah menyebabkan kawasan seperti sempadan Wilayah Chiba di Timur, Wilayah Saitama di bahagian utara, dan Wilayah Kanagawa di bahagian selatan menerima kesan pembangunan yang berlaku.

Kesan Negatif Pembandaran

1. Proses pembandaran yang berlaku telah menyebabkan kesesakan lalu lintas di badar terutama ketika waktu puncak, iaitu semasa penduduk pergi dan pulang dari kerja. Keadaan ini akan diburukkan lagi apabila berlakunya banjir kilat.
2. Jumlah kenderaan yang banyak menuju ke pusat bandar raya Kuala Lumpur telah menyebabkan kesesakan lalu lintas sering berlaku. Begitu juga keadaannya apabila berlakunya banjir kilat di bandar raya Kuala Lumpur.
3. Selain Bandar raya Kuala Lumpur, metropolis Bangkok juga turut mengalami masalah kesesakan lalu lintas kerana banyaknya jumlah kenderaan di jalan raya dan ketika berlakunya banjir kilat.

1. Jumlah kenderaan yang semakin bertambah telah menyebabkan pencemaran udara dan pencemaran bunyi berlaku di Bandar raya Kuala Lumpur, metropolis Bangkok dan metropolis Tokyo.
2. Gas-gas seperti karbon dioksida, karbon monoksida, sulfur oksida, hidrokarbon dan nitrogen oksida yang dibebaskan daripada kenderaan telah menyebabkan berlakunya pencemaran udara di bandar-bandar tersebut.
3. Gas-gas yang dibebaskan ke udara ini bukan sahaja mencemarkan udara malahan akan memburukkan lagi fenomena pulau haba yang berlaku di bandar kesan daripada peningkatan suhu yang berlaku di udara.
4. Jumlah kenderaan yang terlalu banyak di jalan raya telah menghasilkan bunyi bising sehingga mengakibatkan pencemaran bunyi berlaku. Keadaan ini menggangu ketenteraman penduduk terutama kepada mereka yang tinggal berhampiran dengan jalan raya atau lebuh raya.
5. Bandar juga turut dicemari dengan pembuangan sampah sarap secara tidak terurus di kalangan penghuninya. Sungai Klang di bandar raya Kuala Lumpur dan Sungai Chao Phraya, Bangkok menjadi tempat pembuangan sampah sarap sehingga mengakibatkan airnya tercemar.
6. Pencemaran air juga berlaku disebabkan oleh pembuagan sisa domestik dan pembuagan sisa kilang. Pertambahan jumlah penduduk dan peningkatan jumlah kilang akan memburukkan lagi keadaan ini. Contohnya di metropolis Tokyo, sisa-sisa kilamng di buang ke pantai sehingga menyebabkan hidupan akuatik di kawasan tersebut tercemar. penduduk disekitar kawasan Kumamoto misalnya, pernah mendapat penyakit Minamata kerana memakan ikan yang sudah tercemar.

1. Bangunan konkrit dan jalan raya yang berturap menajdi punca utama masalah banjir kilat yang sering berlaku di bandar.
2. Jalan yang berturap akan menyebabkan resapan larian air permukaan ke dalam bumi terhalang dan sistem saliran yang sedia ada tidak mampu menampung jumlah air yang meningkat secara mendadak.
3. Keadaan banjir kilat akan bertambah buruk sekiranya sistem perparitan yang terdapat di bandar tidak sempurna dan dipenuhi sampah sarap kerana tiada pengurusan yang cekap.

1. Kawasan setinggan adalah kesan negatif yang paling ketara akibat proses pembandaran yang berlaku.
2. Masalah petempatan setinggan yang wujud di kawasan bandar disebabkan oleh:
(a) jumlah rumah yang tidak mencukupi
(b) kadar sewa rumah yang terlalu tinggi
(c) harga tanah yang tinggi
3. Penduduk yang tidak mampu memiliki rumah mengambil jalan mudah dengan mendirikan petempatan di atas tanah-tanah kerajaan dan persendirian serta di kawasan tebing sungai dan di sepanjang landasan kereta api.
4. Petempatan ini bukan sahaja mencemarkan pemandangan bandar, malah menimbulkan masalah sosial seperti keselamatan kesihatan, dan ketidakselesaan penduduk sekitarnya.
5. Bandar raya Kuala Lumpur dan metropolis Bangkok merupakan contoh bandar yang mempunyai masalah petempatan setinggan yang amat ketara.

1. Pendapatan yang lumayan dan taraf hidup yang lebih tinggi menyebabkan migrasi penduduk luar bandar ke bandar berlaku.
2. Migrasi penduduk luar bandar ke bandar ini telah mengurangkan jumlah tenaga kerja di kawasan luar bandar.
3. Keadaan ini mengakibatkan banyaknya kawasan pertanian di luar bandar yang tidak dimajukan dan terbiar begitu sahaja.

Langkah-langkah Mengurangkan Masalah Pembandaran

1. Masalah kesesakan lalu lintas dapat diatasi dengan melaksanakan beberapa perkara. Antaranya termasuklah
(a) melaksanakan kempen untuk menggalakkan
 penduduk berkongsi kereta (car pool) dan menggunakan kenderaan awam.
(b) kerja-kerja
 melebarkan jalan raya dan membina lebih banyak jejantas perlu dilakukan.
(c) meningkatkan pembinaan Pengangkutan Aliran Ringan (LRT) dan monorel untuk mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas.
(d) memperkenalkan sistem pengangkutan lebih bersepadu di kawasan bandar seperti mengadakan sistem kawalan lalu lintas berkomputer seperti yang dilaksanakan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
(e) mengadakan zon larangan untuk menghadkan kemasukan kenderaan tertentu ke bandar tertentu pada waktu tertentu.

1. Masalah pencemaran juga dapat diatasi dengan beberapa perkara seperti;
(a) menguatkuasakan undang-undang seperti Akta Alam Sekitar supaya kilang-kilang memasang penapis dan meninggikan cerobong asap.
(b) mengenakan denda yang tinggi terhadap kilang-kilang yang membuang sisa buangan ke udara dan sungai.
(c) memperkenalkan konsep penghijauan bandar dengan menanam pelbagai jenis pokok di bandar. Contohnya Bandar raya Kuching dan badar raya Kuala Lumpur ditanam dengan pelbagai tumbuhan bagi mewujudkan bandar dalam taman.
(d) membina loji kumbahan untuk merawat air kumbahan.
(e) memasang perangkap sampah sarap di sungai untuk memerangkap sampah yang dibuang ke sungai.
(f ) memperkenalkan Green Belt di dalam kawasan bandar.

1. Masalah kekurangan tempat tinggal dapat diatasi dengan:
(a) memperbanyakkan pembinaan rumah kos rendah dan pangsapuri. contohnya, Bandar raya Kuala Lumpur dan Bandar raya Kuching dan Pulau Pinang dibina rumah-rumah kos rendah dan pangsapuri untuk penduduk berpendapatan sederhana.
(b) menempatkan semula penduduk di petempatan setinggan ke petempatan yang lebih terancang.
(c) mengurangkan penghijrahan penduduk luar bandar ke bandar dengan membuka kawasan perindustrian di luar bandar.
(d) melaksanakan konsep memperbandarkan kampung untuk mengurangkan tumpuan penduduk ke bandar.

1. Masalah pembuangan sisa pepejal dan banjir kilat mungkin dapat diatasi dengan:
(a) mewujudkan tapak pelupusan sampah sarap dan sisa-sisa buangan kilang yang lebih terurus.
(b) menggunakan sistem insinerator untuk menggantikan sistem pembuangan sampah secara terbuka.
(c) menaiktarafkan sistem perparitan dan saliran yang terdapat di bandar.
(d) membina sistem saliran dan perparitan yang lebih sistematik.
(e) memperluas dan mendalamkan dasar sungai untuk menampung jumlah air yang lebih banyak. Contohnya, di bandar raya Kuala Lumpur, Sungai Gombak dan Sungai Klang telah dilebar dan didalamkan agar mampu menampung jumlah air yang banyak. Sungai Segget di bandar raya Johor Bahru juga turut dinaiktarafkan untuk tujuan yang sama.


 Bab 14 : Keperluan Pengangkutan dan Perhubungan Awal

Pengangkutan Dan Perhubungan Awal

1. Pada masa dahulu jalan darat dan jalan air merupakan sistem pengangkutan dan perhubungan yang menghubungi satu tempat dengan tempat yang lain.
2. Penduduk-penduduk berjalan kaki menggunakan denai dan lorong di atas darat untuk mencari makanan dan menghubungkan kawasan pedalaman.
3. Binatang-binatang seperti gajah, lembu dan kuda digunakan untuk berhubung di atas darat.
4. Keadaan bentuk muka bumi yang berhutan tebal, berpaya dan berbukit bukau menyebabkan penduduk sukar merentasi dan berhubung.
5. Selain itu, masa yang diambil juga lama dan barangan yang diangkut terhad.
6. Jalan air yang melalui sungai dan laut sangat penting bagi kawasan yang terletak berhampiran dengan sungai dan pinggir laut.
7. Penduduk menggunakan perahu, rakit dan jong sebagai alat untuk mengangkut orang, barangan dan surat.
8. Alat pengangkutan air ini amat bergantung kepada aliran air, tenaga manusia dan tiupan angin.
9. Perdagangan pada masa dahulu ialah melalui sistem barter. Oleh itu, sungai digunakan untuk membawa hasil dagangan ke merata-rata temapt lain untuk ditukarkan.
10. Dari segi perhubungan, penduduk menggunakan isyarat asap atau bunyi untuk berhubung dengan penduduk di kawasan lain.
11. Isyarat asap dihasilkan oleh api yang menyalakan kayu dan mengeluarkan asap ke udara, pihak lain akan memahami maksud yang dikeluarkan oleh asap di udara.
12. Isyarat bunyi dihasilkan oleh suara memukul beduk, ketuk-ketuk dengan batang kayu atau buluh dan laungan. Pihak yang mendengar suara itu akan memahami maksud maklumat yang ingin disampaikan.
13. Di samping itu, isyarat juga boleh digunakan untuk mengumpulkan orang kampung bagi tujuan tertentu.
Keperluan Pengangkutan dan Perhubungan Awal Pada Zaman Penjajah
1. Penjajah British di Tanah Melayu pada abad 1800-an telah mempengaruhi perkembangan pengangkutan dan perhubungan di negara kita.
2. Kedatangan penjajah British bertujuan mengekploitasi sumber seperti bijih timah dan getah. Mereka membina kemudahan pengangkutan seperti jalan kereta api, jalan raya dan pelabuhan untuk mengeksport sumber-sumber tersebut.

1. Kemasukan penjajah British dengan tujuan mengeksploitasi bijih timah secara tidak langsung telah memajukan sistem pengangkutan di Tanah Melayu.
2. Landasan kereta api yang pertama telah dibina dari Taiping ke Port Weld (Kuala Sepetang) bagi mengangkut bijih timah untuk dieksport. Landasan kereta api sepanjang 13 km telah di buka pada tahun 1885.
3. Landasan kereta api ini dibina dengan jarak dekat dan tumpuan pembinaan hanyalah di kawasan pengeluaran sahaja.
4. Landasan kereta api yang seterusnya ialah
(a) Seremban ke Port Dickson (1891)
(b) Kuala Lumpur ke Port Swethenham (Pelabuhan Klang)
(c) Tapah ke Teluk Anson (Teluk Intan)
5. Perkembangan sistem kereta api ini telah mengubah ekonomi negara daripada sara diri kepada ekonomi eksport.
6. Walau bagaimanapun penjajah Britidh hanya memberi tumpuan di sebelah pantai barat Semenanjung Malaysia sahaja. Keadaan ini menyebabkan kawasan pantai barat mempunyai rangkaian perhubungan yang lebih padat daripada kawasan pantai timur.
7. Di Sabah landasan kereta api mula dibina dari Weston ke Beaufort dan dari Tenom ke Jesselton.
8. Di Sarawak pula landasan kereta api dibina bagi menghubungkan bandar Kuching dengan Batu 10. Namun begitu pembinaan landasan kereta api di Sarawak tidak begitu penting memandangkan negeri ini masih bergantung kepada sistem pengangkutan air untuk mengangkut hasil pertanian.
9. Jalan raya yang pertama dibina ialah jalan kereta lembu. Jalan ini menghubungkan Taiping dengan Matang, bersambung ke Krian dan seterusnya ke Seberang Perai.
10. Pembukaan kawasan perlombongan bijih timah di kawasan pedalaman telah menyebabkan jalan raya dibina.
11. Bijih timah , pekerja-pekerja dan segala keperluan perlombongan diangkut dari stesen kereta api dan pelabuhan melalui jalan raya ke kawasan perlombongan.
12. Jalan raya ini menghubungkan kawasan perlombongan di Larut Pelabuhan Pulau Pinang. Jenis kenderaan yang digunakan pada ketika itu adalah seperti kereta lembu, beca(lanca) dan kereta kuda.
13. Terciptanya enjin dan kenderaan bermotor telah memperkenalkan pengangkutan bas dan lori. Peningkatan penggunaan kenderaan ini telah menjadikan sistem jalan raya lebih penting daripada jalan kereta api keraan tahap ketersampaiannya dan memudahkan pengangkutan barang dari pintu ke pintu.

1. Pengangkutan air iaitu melalui sungai dan pelabuhan sangat penting pada zaman penjajah British.
2. Tongkang dan kapal susur pantai digunakan sebagai alat mengangkut bekalan, makanan, jentera dan buruh. Hasil kemudiannya dibawa ke gudang yang terletak di tepi-tepi sungai sebelum dipunggah ke kapal untuk dieksport.
3. Penggunaan tongkang dan kapal wap dapat mempercepatkan penghantaran barangan seperti bijih timah dan getah. Pengangkutan air juga digunakan utnuk membawa masuk buruh-buruh asing dari India dan China ke Tanah Melayu.
4. Pelabuhan-pelabuhan awal seperti Pelabuhan Pulau Pinang, Port Swettenham (Pelabuhan Klang), Port Dickson dan Pelabuhan Labuan turut dibuka oleh British semasa penjajahannya di Tanah Melayu.
5. Pelabuhan Port Dickson dan Pelabuhan Port Swettenham telah berkembang sebagai pelabuhan untuk mengeksport barangan seperti bijih timah dan getah selain menjadi pusat mengimport barangan dan perkakasan buatan kilang.

1. Selain pengangkutan, penjajah British juga memajukan perkhidmatan perhubungan seperti pos, telegraf dan telefon.
2. Perkhidmatan pos mula diperkenalkan oleh penjajah British pada tahun 1800. Pada tahun 1862, Jabatan Perkhidmatan pos yang pertama telah ditubuhkan di Negeri-Negeri Selat yang beribu pejabat di Pulau Pinang.
3. Perkhidmatan pos pada ketika itu hanyalah tertumpu kepada pengendalian surat-menyurat sebelum berkembang kepada pengangkutan surat khabar, dokumen perniagaan, bungkusan, dan kemudahan insurans.
4. Talian telegraf yang pertama dibina pada tahun 1876 untuk menghubungkan Kuala Kangsa dengan Taiping dan seterus berkembang hingga ke Kamunting dan Bukit Gantang.
5. Sistem perhubungan telegraf sangat penting dalam pentadbiran dan penguatkuasaan penjajahan di negeri-negeri Melayu.
6. Pembinaan sistem telegraf oleh pihak British pada peringkat awalnya adalah untuk memantau dan menjaga kepentingan kawasan perlombongan mereka yang terdapat di negeri Perak dan Selangor.
7. Pembinaan sistem ini juga bertujuan menyampaikan maklumat dan arahan dengan lebih cepat dari pusat pentadbiran jajahan di Singapura ke pusat pentadbiran negeri-negeri di Tanah Melayu.
8. Pada tahun 1886, perkhidmatan telefon telah diperkenalkan di Negeri-negeri Selat. Ketika itu telefon hanya digunakan untuk tujuan keselamatn dan dipasang untuk menghubungi balai polis sahaja.
9. Perkhidmatan telefon bukan sahaja digunakan untuk tujuan pentadbiran, malah telefon juga turut digunakan oleh peniaga , pemodal dan pengusaha estet yang memerlukan maklumat tepat dan cepat.
10. Pihak British juga memperkenalkan perkhidmatan telegram di Tanah Melayu semasa penjajahan mereka. Penghantaran maklumat melalui telegram boleh dilakukan di balai polis dengan menggunakan radio polis.
11. Melalui kaedah ini, maklumat dapat disampaikan dengan lebih berkesan untuk usaha-usaha menyelamat terutama ketika berlakunya kejadian yang tidak diingini seperti kejadian banjir besar yang pernah melanda Tanah Melayu pada tahun 1926.





Bab 15: Perkembangan Jaringan Penagngkutan

Pengangkutan Darat
1. Jalan raya adalah cara pengangkutan darat yang paling penting di Malaysia.
2. Jaringan jalan raya di Malaysia berjumlah 66 445 km. Sistem jalan rayanya padat dan 80% daripadanya berturap.
3. Jaringan jalan raya di Semenanjung Malaysia tertumpu di dataran pantai barat dan dataran pantai timur.
4. Kawasan tengah Semenanjung Malaysia adalah kurang jalan raya kerana kawasan inibergunung-ganang dan diliputi hutan tebal.
5. Jalan raya di Sabah dan Sarawak adalah tidak padat kerana kawasannya berhutan tebal dan kebanyakannya dihalang oleh sungai-sungai yang besar.
6. Terdapat beberapa jenis jalan raya di Malaysia iaitu
(a) Jalan raya persekutuan
(b) Jalan banjaran
(c) Jalan raya berturap
(d) Jalan raya tidak berturap
7. Jalan raya persekutuan ialah jalan raya yang mempunyai dua lorong yang menghubungkan kawasan tertentu seperti dari Alor Setar ke Kulim dan Sandakan ke Tawau.
8. Jalan bandaran ialah jalan raya yang dibina di kawasan perbandaran seperti di bandar Ipoh, Johor Bahru dan Kuching.
9. Jalan raya berturap ialah jalan raya yang dibina dengan menggunakan tar, manakala jalan raya tidak berturap ialah jalan raya yang terdiri daripada jalan batu atau tanah merah.

1. Pada masa kini, lebuh raua telah menjadi pengangkutan darat yang utama di Malaysia.
2. Pembinaan lebuh raya telah memendekkan masa perjalanan dan memajukan kawasan-kawasanpedalaman yang terpencil.
3. Terdapat banyak lebuh raya yang mempunyai empat dan enam lorong di Semenanjung Malaysia.
4. Lebuh raya-lebuh raya utama di Malaysia.

5. Lembah Klang mempunyai jaringan jalan raya yang paling padat di Malaysia. Lebuh raya yang terdapat di Lembah Klang ialah Lebuh raya Persekutuan, Lebuh raya Lembah Klang Utara (NKVE) dan Lebuh raya Damansara-Puchong. Lebuh raya-lebuh raya ini dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas.
6. Selain itu, Jambatan Pulau Pinang yang menghubungkan tanah besar Semenanjung Malaysia dengan Pualu Pinang telah meningkatkan sistem pengangkutan darat di Malaysia.

1. Jalan kereta api yang pertama dibina dari Taiping ke Port Weld dengan tujuan untuk mengangkut bijih timah dari kawasan perlombongan ke pelabuhan.
2. Terdapat dua jaringan landasan kereta api utama di Semenanjung Malaysia iaitu di dataran pantai barat dan dataran pantai timur Semenanjung Malaysia.
3. Landasan kereta api di dataran pantai timur dibina pada tahun 1930 dari Gemas (Negeri Sembilan) ke Tumpat (Kelantan) dan sehingga ke Hat Yai di Thailand.
4. Landasan kereta api di dataran pantai barat dibina pada tahun 1913 dari Padang Besar (Perlis) ke Johor Bahru (Johor). Landasan ini menghubungkan semua bandar utama disetiap negeri.
5. Gemas menjadi stesen persimpangan kereta api antara pantai barat dengan pantai timur di Semenanjung Malaysia.
6. Padang Besar, Johor Bahru dan Tumpat menjadi terminal kereta api di Semenanjung Malaysia.
7. Landasan kereta api di pantai barat Semenanjung juga kebanyakannya dihubungkan ke pelabuhan seperti Kuala Lumpur - Pelabuhan Klang dan Seremban - Port Dickson.
8. Landasan kereta api di Sabah adalah pendek (138 km) dan menghubungkan Kota Kinabalu dengan Tenom sahaja.
9. Landasan kereta api di Malaysia sepanjang 1 949 km dan kira-kira 1 811 km dibina di Semenanjung Malaysia.
10. Negeri Terengganu Melaka dan Sarawak tidak mempunyai perkhidmatan kereta api.
11. Di Sarawak, landasan kereta api tidak boleh dibina kerana:
(a) Pantai yang berpaya
(b) Kawasan pedalaman yang bergunung-ganang.
(c) Penduduk kebanyakannya bertumpu di sepanjang sungai
12. Perkhidmatan kereta api adalah penting untuk:
(a) 
Mengangkut barangan dan penumpang
(b) 
Meningkatkan hubungan dengan kawasan pedalaman
(c) 
Membangunkan ekonomi kawasan pedalaman
13. Perkhidmatan kereta api kargo telah menyediakan perkhidmatan pengangkutan barangan dan meningkatkan urusan perniagaan dan perdagangan.

14. Perkhidmatan kereta api penumpang telah menghubungkan bandar-bandar utama di Semenanjung Malaysia melalui Ekspres Sinaran, Ekspres Langkawi, Ekspres Wau dan Ekspres Kenali.
15. Perkhidmatan kereta api 'Ekspres Antarabangsa' yang menghubungkan Bangkok, Kuala Lumpur dan Singapura telah berjaya menggalakkan industri pelancongan di ketiga-tiga negara.
16. Pihak kerajaan Malaysia sentiasa berusaha menambahkan perkhidmatan kereta api. Oleh itu, kerajaan berjaya mengadakan perkhidmatan rel bersepadu di sekitar Lembah Klang.

17. Perkhidmatan ini terdiri daripada Komuter dan transit aliran ringan seperti STAR-LRT, PUTRA-LRT, KL Monorel dan ERL (Express Rail Link).
18. Pada tahun 1995, KTMB telah memperkenalkan perkhidmatan Komuter yang mengubungkan kawasan:

(a) Rawang - Seremban
(b) Pelabuhan Klang - Sentul
19. Pada tahun 1996, transit aliran ringan (STAR-LRT) dimulakan operasinya di sekitar kawasan:
(a) Sentul Timur - Sri Petaling
(b) Sentul Timur - Ampang
20. Pada tahun 1998, sebuah lagi sistem transit aliran ringan (PUTRA-LRT) diperkenalkan di sekitar Kuala Lumpur, Tren ini merupakan tren yang menggunakan sistem tren automatik tanpa pemandu yang terpanjang didunia. Kawasan-kawasan yang dilalui oleh PUTRA-LRT ialah dari Terminal Putra ke Kelana Jaya.
21. Pada tahun 2003, KL Monorel diperkenalkan di kawasan 'Segi Tiga Emas ' iaitu sekitar Jalan Sultan Ismail, Jalan Chulan, Jalan Pudu dan Chow Kit. Ini kerana kawasan-kawasan itu terdiri daripada pelbagai bangunan perdagangan dan perniagaan.
22. Pada tahun 2002, ERL diadakan untuk menghubungkan Kuala Lumpur dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur yang berada di Sepang. Perjalanannya hanya mengambil masa selama 28 minit sahaja.
23. Perkhidmatan rel bersepadu sangat penting di Kuala Lumpur kerana ia dapat membantu mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas, menjimatkan masa penumpang dan mengurangkan pencemaran udara.
24. Perkhidmatan ini adalah alternatif kepada penumpang selain pengangkutan awam yang lain seperti bas dan teksi.
Pengangkutan Air
1. Terdapat tiga jenis pengangkutan air di Malaysia iaitu:
(a) Pengangkutan sungai
(b) Pengngkutan pesisiran pantai
(c) Pengangkutan laut
1. Pengangkutan sungai adalah lebih penting di Sabah dan Sarawak kerana jalan raya dan jalan kereta api kurang dimajukan.
2. Pengangkutan ini hanya terhad di kawasan pedalaman kerana kos yang lebih murah dan mudah untuk mengangkut barangan pukal dan penumpang dari kawasan pedalaman ke kawasan bandar.

3. Sungai-sungai yang dapat dimudiki adalah seperti Sungai Rajang, Sungai Kinabatangan, Sungai Pahang dan Sungai Perak.

4. Sungai Rajang dapat dimudik hingga ke Kapit dan boleh digunakan untuk mengangkut barangan pukal seperti kayu balak dan penumpang.

5. Sungai Kinabatangan digunakan untuk menghanyutkan kayu balak dari kawasan pedalaman hingga ke Sandakan.

6. Di Semenanjung Malaysia, pengangkutan sungai hanyalah terhad di kawasan pedalaman Pahang dan Kelantan.
7. Di Pahang, cara untuk sampai ke Taman Negara ialah dengan menaiki bot dan yang menyusuriSungai Tembeling.

1. Pengangkutan persisiran pantai penting bagi penduduk pinggir pantai untuk mengangkut barangan pukal dari pelabuhan kecil ke pelabuhan besar.
2. Lumut ialah sebuah pelabuhan kecil yang membolehkan bot-bot dari Pulau Pangkor bersinggah. Pelabuhan ini juga mengumpulkan hasil tangkapan laut dan menjual di seluruh Semenanjung Malaysia.
3. Pelabuhan ini juga terdapat perkhidmatan polis marin dan pangkalan tentera laut untuk mengawal keselamatan perairan negara.
4. Pelabuhan-pelabuhan persisiran pantai yang penting ialah:
(a) Sandakan
(b) Lahad Datu
(c) Mukah
(d) Sibu

1. Pengangkutan laut penting bagi perdagangan antarabangsa.
2. Pengangkutan laut di Malaysia dapat berkembang kerana:
(a) Dapat mengangkut barangan pukal dengan kos murah
(b) Mempunyai pelabuhan yang dalam
(c) Mempunyai pelabuhan terlindung
(d) Terletak di lokasi strategik
(e) mempunyai kemudahan gudang

3. Syarikat Perkapalan Antarabangsa Malaysia (MISC) mengendalikan semua urusan perdagangan luar Malaysia. Ini adalah kerana MISC memiliki kapal kargo, kapal tangki, kapal kontena dan kapal penumpang dengan jumlah yang banyak.
4. Antara pelabuhan antarabangsa biasanya dilengkapi dengan perkhidmatan gudang, limbungan membaiki kapal dan kren memunggah.

5. Antara pelabuhan antarabangsa yang penting di Malaysia ialah:
(a) Pelabuhan Pulau Pinang
(b) Pelabuhan Pasir Gudang
(c) Pelabuhan Klang
(d) Pelabuhan Kuantan
6. Pelabuhan yang mempunyai kemudahan kontena ialah Pelabuhan Klang, Pelabuhan 
Pulau Pinang, Pelabuhan Pasir Gudang, Pelabuhan Kuantan dan Pelabuhan Bintulu.

7. Pelabuhan Klang merupakan pelabuhan yang tercanggih dan termoden di Malaysia. Ia menyediakan kemudahan kontena dan kemudahan membaiki kapal.
8. Pelabuhan Pulau Pinang merupakan pelabuhan kedua penting di Malaysia. Ia mengendalikan eksport dan import di utara Semenanjung Malaysia.
9. Pelabuhan Pasir Gudang merupakan pelabuhan ketiga pentig di Malaysia. Ia menyediakan kemudahan membaiki dan membuat kapal serta mengendalikan eksport dan import di selatan Semenanjung Malaysia.
10. Pelabuhan-pelabuhan utama di Sabah ialah Pelabuhan Kota Kinabalu dan Sandakan.
11. Pelabuhan utama di Sarawak ialah Pelabuhan Kuching di Pending.
12. Kos pengendalian yang rendah telah menyebabkan pengangkutan laut sesuai untuk urusan eksport dan import barangan pukal.

Pengangkutan Udara

1. Pengangkutan udara yang terdapat di negara kita mula mengalami era perkembangan setelah negara kita mencapai kemerdekaan.
2. Pada tahun 1967, pengangkutan udara dikendalikan oleh Malaysia-Singapore Airlines (MSA)
3. Setelah Singapura diisytiharkan keluar dari Malaysia, pengangkutan udara yang terdapat di negara kita dikendalikan pula oleh Malaysia Airlines System (MAS) dan lapangan terbang terbang pertama beroperasi ialah Lapangan Terbang Antarabangsa Subang.
4. Lapangan terbang antarabangsa dan domestik dibina untuk menampung perkembangan pengangkutan udara yang berlaku di negara ini setelah MAS mengambil alih pengendaliannya pada tahun 1970.
5. Pada tahun 1970-an, pembesaran lapangan terbang turut dilakukan bertujuan membolehkan penggunaan kapal terbang yang lebih besar seperti DC 10 dan kapal terbang Boeing 747.
6. Beberapa langkah telah diambil untuk melancarkan operasi pengangkutan udara di Malaysia seperti:
(a) memodenkan perkhidmatan trafik udara
(b) menaik taraf kemudahan yang sedia ada
(c) meningkatkan keupayaan pengendalian penumpang dan kargo
7. Untuk menampung keperluan pendaratan lapangan terbang yang semakin meningkat ,Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) telah dibina pada tahun 1998 bagi mengatasi masalah tersebut.
8. Keadaan ini membolehkan MAS menggunakan kapal terbang yang mempunyai kapasiti penumpang yang lebih besar seperti Boeing 747-400 dan Boeing 777-200.
9. Pada tahun 1998 juga, dua terminal baru telah dibina iaitu di Lapangan Terbang Labuan dan di Lapangan Terbang Kota Bahru.
10. MAS juga telah mengadakan usaha sama dengan syarikat-syarikat penerbangan yang lain untuk melancarkan perkhidmatan penerbangan antarabangsa.
11. MAS pada tahun 2003 telah menawarkan penerbangan ke 100 destinasi yang merentasi 6 benua dan menambahkan kekerapan penerbangan ke destinasi luar negara seperti ke Australia dan Eropah.
12. Sejajar dengan perkembangan pengangkutan udara yang berlaku di negara kita, kini terdapat beberapa syarikat penerbangan lain seperti Air Asia Sdn. Bhd, Berjaya dan Pelangi Airways Sdn. Bhd.
13. Walau bagaimanapun, syarikat-syarikat ini hanya menawarkan perkhidmatan penerbangan dalam negeri sahaja seperti ke Pulau Tioman, Pulau Pangkor dan serantau.

Faktor Yang Mempengaruhi Jaringan Pengangkutan Negara Malaysia

1. Terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi jaringan pengangkutan di Malaysia iaitu:
(a) Bentuk muka bumi
(b) Dasar kerajaan
(c) Kegiatan ekonomi
(d) Kemajuan teknologi

1. Bentuk muka bumi mempengaruhi jaringan pengangkutan darat dan air di Malaysia.
2. Banjaran Titiwangsa menjadi penghalang kepada pengangkutan darat di Semenanjung Malaysia. Oleh itu, jalan raya dibina menganjur dari arah utara ke selatan di daratan pantai barat dan dataran pantai timur Semenanjung Malaysia.
3. Walaupun Lebuh raya Timur-Barat dibina dengan melintasi banjaran, tetapi kosnya adalahsangat tinggi kerana kerajaan terpaksa menebus tanah tinggi yang curam.
4. Jalan kereta api di Malaysia dibina di bahagian kaki bukit dan lembah sungai sahaja.
5. Oleh itu, jalan kereta api di Semenanjung Malaysia berbentuk Y untuk mengekalkan Banjaran Titiwangsa.
6. Di Sabah dan Sarawak, bentuk muka bumi yang lebih kasap dan tertumpu di pinggir pantai menyebabkan pengangkutan darat kurang maju.
7. Tanih berpaya juga kurang sesuai untuk dibina jalan raya dan landasan kereta api. Ini kerana tanih berpaya amat lembut dan berair.

1. Dasar kerajaan yang meningkatkan tahap pengangkutan telah membolehkan jalan raya dibina diseluruh negara Malaysia.
2. Program pembangunan tanah rancangan di luar bandar telah mewujudkan jaringan jalan raya dari kawasan petempatan Felda ke kawasan bandar sekitarnya.
3. Kerajaan ingin memajukan kegiatan pelancongan untuk mendapatkan pulangan yang tinggi menyebabkan sistem pengangkutan darat dan udara di kawasan pusat pelancongan menjadi maju dan padat.

1. Kegiatan ekonomi banyak mempengaruhi jaringan pengangkutan darat dan air di Malaysia.
2. Kegiatan ekonomi seperti perniagaan, perdagangan, perindustrian dan perlombongan amat mempengaruhi jaringan darat di bandar-bandar besar seperti Lembah Klang, Georgetown dan Ipoh.
3. Di Sabah dan Sarawak, kegiatan ekonomi pesat di pinggir sungai menyebabkan pengangkutan air penting daripada pengangkutan darat.
4. Kawasan pertanian juga mempunyai jalan darat yang maju supaya memudahkan kerja mengangkut barangan dari kilang ke pasaran.

1. Kemajuan teknologi membolehkan jaringan pengangkutan berkembang dengan pesat dan maju.
2. Penggunaan teknologi dapat mengurangkan masa perjalanan dan kos dalam pengangkutan.
3. Kemajuan teknologi dan kepakaran dalam pengangkutan darat seperti komuter dan LRT telah mengurangkan kos pengangkutan, mengurangkan kesesakan lalu lintas di Lembah Klang.

Kepentingan Jaringan Pengangkutan Terhadap Pembangunan Malaysia Dan Kanada

1. Malaysia dan Kanada mempunyai jaringan pengangkutan darat yang termoden di dunia.
2. Kanada mempunyai sebuah lebuh raya yang dikenali sebagai Trans Canada Highway. Lebuh raya ini sepanjang 7 300 km dan menghubungkan St. John's di timur Kanada dengan Victoria di barat Kanada.
3. Malaysia juga mempunyai jaringan lebuh raya yang panjang dan moden iaitu Lebuh raya Utara-Selatan. Lebuh raya ini menghubungkan Bukit Kayu HItam di utara dengan Johor Bahru di selatan Semenanjung Malaysia.
4. Jambatan yang dikenali sebagai Confederation Bridge merupakan jambatan terpanjang dan berterusan melalui laut yang diliputi ais. Jambatan ini menghubungkan Pualu Prince Edward dengan New Brunswick di Kanada.
5. Jambatan Pualu Pinang dibina menghubungkan Pulau Pinang dengan Semenanjung Malaysia.
6. Perkembangan jaring pengangkutan juga memajukan pelbagai jenis industri dan mewujudkan kawasan pelancongan yang baru.
7. Pengangkutan kereta api sangat penting dan utama di Kanada. Ini adalah kerana ia merupakan kaedah pengangkutan yang paling ekonomik untuk mengangkut kontena dab barangan pukal melalui jarak yang jauh.
8. Perkhidmatan Kereta Api Pasifik Kanada dan Kereta Api Kebangsaan Kanada telah membangunkan ekonomi di kawasan pedalaman yang dilalui olehnya.
9. Kemudahan pengangkutan kereta api telah menggalakkan pembukaan tanah untuk menanam gandum dan penternakan.
10. Pengangkutan laut penting untuk menggalakkan kegiatan perniagaan dan perdagangan di Malaysia dan Kanada.
11. Di Kanada, gandum dan hasil perlombongan diangkut oleh trak dan kereta api ke pelabuhan untuk dieksport.
12. Jalan Air St. Lawrence- Tasik-tasik besar di Kanada merupakan jalan air terpanjang di dunia dan menggalakkan pertumbuhan perindustrian dan bandar pelabuhan di Kanada.
13. Lapangan terbang antarabangsa di Kanada ialah Montreal dan Vancouver.
14. Di Kanada, pengangkutan udara juga boleh digunakan untuk mengesan dan mengawal kejadian kebakaran hutan pada musim panas.

Kesan Perkembangan Pengangkutan Terhadap Alam Sekitar

1. Perkembangan jaringan pengangkutan yang berlaku di negara kita telah memberikan kesan terhadap alam sekitar fizikal dan alam sekitar budaya.
2. Terdapat kesan positif dan negatif di sebalik perkembangan sistem pengangkutan yang berlaku di negara ini.


3. Pembinaan lapangan terbang memberikan kesan terhadap alam sekitar melalui bunyi bising yang dikeluarkan. Bunyi bising ini menganggu ketenteraman penduduk di sekitarnya.
4. Manakala perkembangan pengangkutan air juga turut memberikan kesan terhadap alam sekitar di sesuatu kawasan. Antara kesan yang sering berlaku ialah tumpahan minyak dari kapal-kapal yang mencemarkan perairan laut dan mengancam hidupan laut.

Langkah-langkah Mengurangkan Kesan Negatif Perkembangan Pengangkutan Terhadap Alam Sekitar

1. Langkah-langkah untuk mengurangkan kesan negatif perkembangan pengangkutan terhadap alam sekitar ialah:
(a) Pengurusan trafik yang lebih efisien.
(b) Memasang alat catalytic converter
(c) Kempen kesedaran
(d) Menanam rumput di cerun
(e) Kawalan undang-undang.
2. Pihak kerajaan mengadakan pengurusan trafik yang lebih efisien di kawasan yang mempunyai kenderaan bermotor yang banyak seperti Kuala Lumpur.
3. Oleh itu, kerajaan mengadakan pelbagai jenis pengangkutan awam seperti Komuter, LRT dan KL Monorel untuk menggalakkan penduduk menggunakan pengangkutan awam pada waktu puncak seperti waktu pergi kerja dan waktu lepas kerja.
4. Tujuannya adalah untuk mengurangkan keadaan kesesakan lalu lintas dan pencemaran udara di kawasan bandar.
5. Selain itu pihak kerajaan juga menggalakkan penduduk yang memiliki kenderaan bermotor memasang alat catalytic converter paad ekzos kereta mereka.
6. Alat ini dapat menukarkan gas beracun kepada bentuk gas yang tidak memudaratkan seperti karbon dioksida.
7. Pihak kerajaan juga selalu mengadakan kempen untuk menggalakkan penduduk berkenderaan menggunakan petrol tanpa plumbum.
8. Di samping itu, kerajaan juga menggalakkan penduduk di kawasan bandar mengadakan amalan perkongsian kereta untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas di bandar.
9. Kesan negatif pembinaan jalan raya dan lebuh raya dapat di atasi dengan menanam rumput dicerun bukit yang telah dipotong dan membina longkang yang besar untuk mengelakkan air hujan melonggarkan tanah.
10. Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengadakan pelbagai undang-undang untuk mengurus alam sekitar seperti:
(a) Peraturan Kawalan Pelepasan 1996 daripada enjin diesel.
(b) Peraturan Kawalan Pelepasan 1996 daripada enjin petrol.
(c) Akta Kualiti Alam Sekitar 1978.
11. Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan polis juga mengadakan pelbagai kempen untuk mengurangkan pelepasan asap hitam daripada kenderaan berat.

No comments:

Post a Comment